Saturday, November 28, 2009

Dakwah dan Berdakwah

Salam,

Banyak kali juga dah saya jumpa dan berbual beberapa kenalan tentang dakwah. Rata-ratanya bersetuju bahawa dakwah wajib dilakukan, biarpun kita menjadi penyokong atau penyumbang. Dan lebih lanjut lagi, ramai juga yang mendominasi perbualan tentang dakwah terfokus hanya bab teknik atau uslub (tatacara). Ada yang kata kita kena berhemah, ada yang kata kita kena berlembut/sopan, jangan menyinggung madh'u (prospek). Biar penampilan kita manis muka, jangan tampil dengan garang, bengis, intolerent dan semacamnya, sebab nanti madh'u cabut lari, objektif dakwah tak tercapai. Ya, memang ramai yang ambil pendekatan berdakwah macam ni, dan memfokuskan dakwah dalam bab teknik semata.

Dakwah sepatutnya dilihat dari 2 elemen; inti dan teknik.

Adapun inti dakwah bergantung kepada objektif yang ingin dicapai. Setahu saya ada 2 inti dakwah yang perlu dibezakan untuk mencapai objektif; aqidah dan syariah. Aqidah Islam berkait dengan soal keyakinan hati (amal qalb). Maka dalam membentuk amal qalb perlu kepada hujjah-hujjah aqliyyah yang rasional sehingga memuaskan akal, memberi ketenangan jiwa dan sesuai dengan fitrah kita. Jalan menuju keimanan atau membina aqidah adalah melalui gabungan ihsasul fikr (pemikiran yang berkaitan realiti dan fakta) dan wijdan (hunjaman perasaan yang kukuh). Misalnya firman Allah SWT;

"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal" [TMQ Ali-Imran (3):190]

Ayat ini berikan tips kepada kita untuk menggunakan hujjah rasional (ihsas) hingga menjadikan wijdan pada madh'u terpaut pada aqidah Islamiyyah. Sudah tentu diawal aqidah Islam adalah beriman kepada Allah SWT. Maka bagi orang-orang kafir, menyampaikan hujjah-hujjah rasional tentang ketuhanan adalah wajar, bukan mempertikai syariah, fiqh, firqah dan sebagainya. Hanya aqidah. Ini adalah kerana Rasulullah SAW sentiasa mengajak orang-orang kafir menjadikan Allah sebagai Rabb yang Maha Esa. Rasulullah SAW tidak pernah menghormati aqidah kufur bahkan mencela sesembahan mereka. Rasulullah SAW juga tidak pernah berkompromi dengan orang-orang kafir dalam hal yang berkaitan aqidah sepertimana asbab an-nuzul surah Al-Kafirun. Rasulullah SAW sentiasa berpegang teguh pada aqidah Islam dan konsisten memikul dakwah samada orang-orang menerimanya, atau menolaknya bahkan menentangnya. Rasulullah SAW sendiri tidak bermuka-muka atau menyembunyikan inti dakwahnya melainkan
berterus-terang dan tidak mempedulikan kebiasaan, adat resam, budaya mahupun kepentingan diri. Yang didakwahkan adalah aqidah Islam.

Satu ketika Rasulullah SAW mendatangi Bani Tsaqif dan mengajak mereka memeluk Islam. Kemudian Bani Tsaqif menerima ajakkan Rasulullah SAW dan kemudian meminta agar berhala Latta tidak dihancurkan dalam tempoh 3 tahun serta mengecualikan mereka dari kewajipan solat. Rasulullah SAW menolak permohonan mereka seterusnya menolak permintaan mereka untuk tidak menghancurkan Latta dalam tempoh 2 tahun, seterusnya sebulan. Dan akhirnya mereka meminta agar Latta dihancurkan oleh orang selain kaum mereka. Maka Rasulullah SAW mengutuskan Abu Sufyan dan Mughirah Bin Syu'bah untuk menghancurkan Latta. Jelas dari sirah ini, Rasulullah SAW tidak berkompromi dalam soal aqidah tetapi beliau bertolak ansur dalam soal teknik (menghancurkan Latta).

Manakala dalam soal syariah pula, kita melakukan dakwah kepada umat Islam dalam konteks muhasabah (amar maaruf dan nahi mungkar) kerana syariah itu sendiri intinya adalah sebagai problem solving (muajalah masyakil insan). Syariah merupakan himpunan peraturan-peraturan hidup dalam Islam dimana setiap rinciannya menyelesaikan masalah interaksi manusia sesama sendiri mahupun dengan alam agar keperluan dan keinginan mereka terpenuhi. Maka jika berlaku suatu pelanggaran syariah, maka perlu ada yang muhasabah, memperkasa dalam kontek amar maaruf dan nahi mungkar. Ketika ini syariah tidak berlangsung dalam kehidupan seharian umat Islam seluruhnya. Kita hanya mengambil syariah secara partial (juzuk). Ini menjadikan kehidupan kita sangat asing dari kehidupan Islam yang sebenar. Kita dihimpit kesempitan ekonomi, keruntuhan sosial, kejelekan politik, diperangi, dijajah dan dieksploitasi, bahan ujian, bidikan peluru dan bom kuffar!! Semua ini berakibat dari
kelalaian dan kecuaian kita dari hidup didalam syariah.

Jadi, dakwah yang berkaitan dengan penegakkan semula syariah adalah wajar disampaikan kepada kaum muslimin keseluruhannya. Kita perlu sedar bahawa syariah tak kan mampu ditegakkan tanpa dukungan sebuah institusi politik, ad-daulah Islamiyyah. Sesuai dengan portfolio daulah i.e. menerap dan mengembangkan Islam didalam mahupun diluar, Umar al-Khattab ada menyatakan dalam atsarnya, "La 'izzata illa bi al-Islam.. wa la Islama illa bi syari'ah.. wa syari'atu illa bi ad-daulah" [Tiada kemuliaan tanpa Islam.. dan tiada Islam tanpa (penegakkan) syariah.. dan tiada syariah tanpa daulah]. Inilah inti dakwah yang wajib kita fokus dan laksanakan sekarang disamping kita memupuk amal-amal Islam seperti solat, berpuasa, haji, zakat, sedekah, nafilah dan seumpamanya sebagai mengukuh nafsiyyah (pola laku) Islamiyyah.

Dalam soal teknik pula, sudah tentu ianya boleh berubah-ubah bentuk dan gaya. Rasulullah SAW pernah menggunakan utusan (wakil) untuk menyampaikan dakwahnya seperti mengutus Jaafar bin Abi Talib ke Habsyah. Nabi SAW pernah pula menggunakan surat (tulisan) sebagai teknik berdakwah misalnya dalam surat beliau ke Kaisar Rom dan Parsi. Nabi SAW juga tidak melarang Abu Bakar r.a. yang menggunakan teknik lembut lagi bijaksana dalam berdakwah, Nabi SAW juga tidak menegah Umat Al-Khattab r.a berdakwah dengan teknik ketegasan dan sebagainya. Apapun teknik yang bersesuaian dengan syarak dibenarkan diguna bagi menyampaikan maksud (inti) dakwah. Ground rule is kita laksanakan dakwah, bukan berdiam diri dan bukan mengira-ngira kesan.

Layari
http://www.mykhilaf ah.com

Masjidil Aqsa




Masjid kedua tertua dan ketiga tersuci di dunia adalah Masjidil Aqsa (Masjid Al-Aqsa). Masjid itu dibangunkan di atas lokasi Kenisah Sulaiman atau Haykal Sulaiman dan termasuk di antara tiga masjid yang perlu dikunjungi oleh kaum Muslim sesuai dengan anjuran Nabi Muhammad s.a.w. Keutamaan Masjidil Aqsa ini didasarkan daripada sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Janganlah kamu merasa berat untuk mengadakan perjalanan ke tiga masjid: Masjidil Haram, Masjidku ( Masjid Nabawi ) dan Masjidil Aqsa. Solat di Masjidil Haram lebih utama dari 100,000 kali di tempat lain kecuali di Masjidil Aqsa.” ( Riwayat ad-Darimi, an- Nasa’i, dan Ahmad)

Masjidil Aqsa disebut di dalam al-Quran yang berkaitan dengan peristiwa Israk Mikraj (Q.17:1). Nabi s.a.w. melakukan Israk (perjalanan malam hari) dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa sebelum bermikraj ke Sidratulmuntaha, sebagaimana dalam firman-Nya: “Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami…” (Q.17:1).

Kalangan ulama berbeza pendapat mengenai istilah “aqsa”. Sebahagian berpendapat bahawa masjid ini disebut Aqsa (Jauh) kerana memang jauh dari Masjidil Haram di Mekah. Menurut pendapat lain, masjid ini disebut Aqsa kerana ia merupakan tempat yang bebas daripada segala jenis kotoran, tempat turunnya malaikat serta wahyu, dan kiblat para nabi sebelum Nabi Muhammad s.a.w. Pendapat lain lagi mengatakan bahawa Masjidil Aqsa bukan di Baitulmaqdis tetapi di Sidratulmuntaha. Alasan ini didasarkan pada fakta bahawa Haykal Sulaiman sudah dihancurkan pada tahun 70 SM oleh Kaisar Titus dari Rom.

Masjidil Aqsa berada dalam sebuah kompleks di kota Baitulmaqdis (rumah, tempat suci atau yang disucikan). Baitulmaqdis adalah sebutan bagi Jerusalem yang juga disebut al-Quds. Masjidil Aqsa didirikan di atas tanah bekas Haykal Sulaiman. Di dalam kompleks itu, Masjidil Aqsa terletak di selatan Kubah as-Sakhrah yang juga dikenali dengan nama Masjid Umar atau The Dome of the Rock. Masjid itu didirikan seperti di atas sakhrah (batu hitam yang menjadi landasan mikraj Nabi s.a.w) oleh Abdul Malik bin Marwan pada tahun 72 H/691 M.

Nabi Sulaiman a.s membangun tempat ibadah Yahudi (kenisah) di Jerusalem yang disebut Haykal Sulaiman. Bangunan yang terletak di Haram asy-Syarif itu lalu dihancurkan oleh Kaisar Titus pada tahun 70 SM. Khalifah Umar membina sebuah masjid (Masjidil Aqsa) di bekas lokasi Haykal Sulaiman itu. Kubah masjid itu berwarna perak. Masjidil Aqsa telah diperbaiki beberapa kali, namun bentuknya tetap tidak berubah.

Ketika menerima penyerahan Jerusalem (dahulu bernama Aelia) daripada penguasa Nasrani, Umar al-Khattab mendapati tompokan sampah di atas sakhrah. Beliau dan kaum Muslim membersihkan tempat itu. Lalu beliau berkata kepada Ka’b bin Ahbar (seorang Yahudi yang memeluk Islam), ”Menurut pendapat kamumu, di mana saya dapat mendirikan sembahyang untuk kaum Muslim?” Dia (Ka’b) menjawab, ”Dirikanlah di belakang(sebelah utara) sakhrah.” Umar pun membalas, ”Hai kau anak perempuan Yahudi, kau masih terpengaruh dengan kefahaman Yahudi! Sebaliknya, saya akan mendirikan masjid tempat di pusat lokasi Haykal Sulaiman kerana kami menguasai seluruh pusat kenisah itu.” Lalu, sebuah Masjid dibina di sebelah selatan sakhrah seperti yang dapat disaksikan sekarang ini. Masjid itulah yang dinamakan Masjidil Aqsa.

Salam

Takbir Raya

Get this widget | Track details | eSnips Social DNA